Lima Catan Baru
Mastura Abdul Rahman

Dokumentari Taman Pesona

Bicara Kurator
bersama Tengku Sabri Ibrahim

Taman Pesona merupakan satu siri catan yang sangat istimewa sejak saya mula berkarya pada dekad 1980an. Ia menuntut perhatian sepenuh jiwa hingga melangkaui sempadan alam jasmani/materi kepada alam kerohanian. Saya perlu mendalami jiwa watak tokoh rujukan saya yang terkenal dengan warak dan alimnya dalam hal-hal keagamaan/kerohanian selain kebolehan dan kewibawaannya dalam menghadapi soal-soal ‘kefanaan’ dunia kehidupan seharian.

 

Keadaan ini sangat berbeza berbanding dengan karya-karya terdahulu saya yang lebih mengutamakan gubahan-gubahan gambaran luaran yang berstruktural dan mungkin agak logikal pada setengah-tengah tempat.

 

Pemilihan saya kepada tokoh Paduka Seri Maharaja Cik Siti Wan Kembang (CSWK) serta persekitaran hidupnya, dapat saya rasai sangat bertepatan dengan kewanitaan diri saya. Dia menjadi inspirasi/penguat semangat untuk saya terus perbaiki diri sebagai seorang wanita. Sungguhpun kini CSWK sudah menjadi legenda dalam sejarah dan cerita rakyat negeri Kelantan, saya tetap dapat merasakan semangatnya terus hidup hingga ke hari ini dalam kebudayaan masyarakat Melayu setempat (Kelantan).

 

Saya tetap menghasilkan karya-karya Taman Pesona ini dalam bentuk catan. Saya berpendapat, adalah lebih baik untuk saya meneruskan apa yang benar-benar saya fahami dan boleh kuasai daripada mencuba bentuk-bentuk baru yang belum tentu saya mampu menguasainya. Saya anggap saya juga telah mula meneroka bentuk baru apabila memilih subjek dan sumber yang bersifat ‘naratif-sejarah’ tempatan, tanpa mengenepikan aspek-aspek penting seperti gubahan, pilihan warna, lukisan objek alam benda serta corak dekoratif yang dipadan dari bentuk seni hias/motif tradisional Melayu seperti batik, songket dan pertukangan.

 

Taman Pesona ini penuh dengan berbagai cerita yang ‘berperistiwa’ kerana pemilihan subjek dan rujukan-rujukan saya kepada bentuk-bentuk sastera lisan, fiksi-sejarah dan khayalan/imaginasi sendiri.

 

Saya percaya yang karya-karya Taman Pesona berada dalam keadaan seimbang dan saling melengkapi, walau tidak sepenuhnya.

 

Saya juga berhasrat untuk mendalami serta terus menghasilkan lagi karya-karya Taman Pesona ini. Insya Allah.

 

Mastura Abdul Rahman

Studio Pohon Rendang

Mei 2021

|  Ketik pada gambar catan  |

Suasana di Gelanggang Latihan Silat/Pertahanan diri: Persiapan pertahanan diri.

Catan 1

Suasana di Pentas Makyong: Mengasah bakat dan kecintaan kepada bidang kesenian.

Catan 2

Peristiwa di dusun buah-buahan: Penjagaan harta-benda dan kesaksamaan pengadilan kes yang dikemukakan.

Catan 3

Suasana di jeti: Kemakmuran negeri dengan kedatangan pedagang-pedagang asing serta aktiviti perdagangan/perniagaan.

Catan 4

Riadah berburu: aktiviti riadah yang menajamkan kemahiran dan kesabaran di samping mengisi waktu lapang secara bermunafaat.

Catan 5

E-katalog

Baca secara PERCUMA di:

play_prism_hlock_2x.png

Video promo e-katalog

Dokumentasi Proses Pengkaryaan Taman Pesona:

Mengenai Mastura Abdul Rahman

Mastura Abdul Rahman lahir pada tahun 1963 di Singapura. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Johor Bharu, sebelum memasuki Institut Teknologi MARA pada tahun 1982 untuk belajar Seni Halus dan Pendidikan Seni. Pernah berkhidmat sebagai Guru Sekolah dan Pensyarah Sambilan sebelum menyambung pendidikan di Universiti Multimedia, Cyberjaya, dan mendapat Sarjana Sains (Multimedia Kreatif). Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Multimedia Kreatif di universiti tersebut.

 

Karier seni rupanya bermula pada tahun 1985, bila terpilih mewakili Malaysia ke 3rd ASEAN Youth Painting Workhop & Exhibition di Yogjakarta, Indonesia. Dia memenangi Hadiah Utama Bakat Muda Se Zaman pada tahun 1986. Selain Kuala Lumpur, dia juga pernah berpameran di Singapura, Sydney, Manila, London dan Kassel. Karya-karya banyak dihimpun dalam himpunan persendirian dan awam di Malaysia dan Singapura. Kini melukis/mencatan di studionya, Studio Pohon Rendang, di Puchong, Selangor.

Dengan kerjasama: